Sunday, January 15, 2006

PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT OLEH PELAJAR DI SEKOLAH

Keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia memberi keizinan kepada para pelajar sekolah dilihat sebagai satu anjakan paradigma yang amat bermakna kepada warga pendidik. Kebanyakan pihak membuat analisis yang memberi penekanan lebih kepada kesan negatif daripada positif khususnya terhadap pelajar.

Antaranya ialah Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee yang berkata penggunaan telefon bimbit boleh menyebabkan salah laku moral yang akhirnya menjejaskan dasar pendidikan negara. Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abdul Rahman Arshad percaya yang pelbagai masalah akan timbul sekiranya para pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit di sekolah termasuk kes kecurian. Setiausaha Agung Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Awang Mohamad melihat implikasi buruk mungkin tercetus sekiranya perkara itu dibenarkan seperti pelajar lebih banyak terdedah kepada penyelewengan penggunaan alat telekomunikasi tersebut. "Teknologi canggih yang menjadi perisian setiap telefon bimbit berupaya membawa minda para pelajar ke alam lain selain di bilik darjah" . Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Mohd. Firdaus Abdullah turut melahirkan kebimbangan terhadap penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar di sekolah dengan berpendapat telefon bimbit boleh menyebabkan masalah pencemaran bahasa, penyebaran gambar-gambar lucah, perhubungan bebas melalui telefon dengan orang tidak dikenali yang seterusnya boleh menjurus kepada keruntuhan moral (Rujukan dari Utusan Malaysia)

Memang ketara sekali kebimbangan ini memang berasas. Walau bagaimanapun kita seharusnya berfikir dengan lebih luas dan tidak menyempitkan pandangan semata-mata terhadap keburukan yang akan timbul. Sewajarnya kita harus meletakkan sepenuh kepercayaan kepada guru untuk mendidik dan mengajar mana yang patut dan mana yang tidak. Kita yakin keupayaan guru Malaysia lebih terserlah berdasarkan kesungguhan mereka melahirkan para pelajar yang cemerlang sepanjang tahun di dalam peperiksaan utama negara. Pihak sekolah sebagai pentadbir tentulah mempunyai mekanisme yang khusus untuk memberi panduan kepada para pelajar mereka tentang tatacara dan peraturan untuk menggunakan telefon bimbit di sekolah. Pastilah juga pelajar diberikan syarat-syarat khas untuk menggunakan telefon bimbit dan langkah-langkah perlu jika ingin menggunakannya.

Sebagai generasi teknologi canggih, masalah gambar lucah, kegiatan tidak bermoral, bermain "game" dan sebagainya adalah kesan sampingan terhadap urusan yang lebih penting iaitu penghargaan pengguna termasuk pelajar terhadap keupayaan teknologi. Melalui kebenaran ini, para pelajar akan lebih teruja untuk belajar kerana dicabar oleh kreativiti mencipta mesin yang boleh berhubung. Di sinilah letaknya peranan guru untuk memberi minat dan panduan kepada anak murid belajar dengan lebih gigih supaya negara akan menjadi sebuah negara teknologi pada masa depan.

Kita boleh bayangkan jika para pelajar kita amat berminat dengan teknologi, banyaklah maktab dan kolej berteraskan teknologi akan dibuka sekaligus menarik minat pelajar-pelajar luar negara untuk menimba ilmu di Malaysia. Teknologi akan terus berkembang dan sistem pendidikan Malaysia akan terus dijadikan panduan oleh negara-negara lain dengan syarat para guru juga wajar didedahkan dengan kemahiran dan keupayaan berfikir kelas dunia. Berikan mereka peluang melanjutkan pelajaran, dedahkan mereka dengan perkembangan dunia pendidikan peringkat dunia, kukuhkan jati diri pelajar dan yakinkan ibu bapa bahawa setiap anak harus mendapat pendidikan yang terbaik biar apa pun halangan yang ada.

No comments: